Tajuk: Daulah Uthmaniyah Dan Alam Melayu.
Editor: Farid Mat Zain
Terbitan: Karisma Publications.
Buku ini merupakan himpunan kertas kerja yang diwacanakan dalam Seminar Sejarah Pemikiran Politik Islam yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 25 September 2004 yang lalu. Tarikh tersebut amat bermakna bagi umat Islam kerana sudah 80 tahun sistem khilafah Islamiyah terhapus dalam lipatan sejarah kehidupan umat Islam. Semasa sistem khilafah Islamiyah tertegak, umat Islam dihormati dan disegani. Sultan Muhammad al-Fatih berjaya membuka kota terbesar Rom iaitu Constantinople, namun selepas merosot sistem khilafah, dengan mudah umat Islam dikalah dan dipermainkan. Daulah Uthmaniyah kalah dalam Perang Dunia Pertama, dengan kekalahan tersebut semua wilayah di bawah Daulah Uthmaniyah dirampas dan dijajah oleh British serta Perancis sebagai pihak yang menang dalam perang tersebut. Tidak memadai dengan keperitan yang dialami oleh umat Islam dalam Perang Dunia Pertama itu, sebagai kemuncaknya pada tahun 1924 di hadapan ribuan umat Islam dan pemimpin utama Turki, Mustafa Kamal Attarturk mengisytiharkan sistem khilafah Islamiyah ditamatkan.
Penulisan mengenai sejarah Daulah Uthmaniyah sama ada sejarah pembentukan, zaman kegemilangan juga kejatuhannya telah banyak ditulis oleh sejarawan Islam juga pihak orientalis. Namun begitu, hubungkait Daulah Uthmaniyah dengan Alam Melayu sangat jarang ditemui. Buku ini sebagai satu penerokaan awal terhadap hubungan antara Daulah Uthmaniyah dengan masyarakat Islam di Tanah Melayu. Sebagai sebuah wilayah kecil yang menuju kedewasaan Islam, masyarakat Islam di Semenanjung Tanah Melayu sangat menyanjung tinggi Daulah Uthmaniyah dan menganggap kuasa tersebut sebagai tempat bergantung bagi umat Islam. Semasa Tanah Melayu diceroboh oleh kuasa luar, beberapa kali Daulah Uthmaniyah menghantar pasukan tentera membantu umat Islam. Masyarakat Islam terhutang budi kepada Daulah Uthmaniyah kerana melalui inisiatif yang diberikan maka terhasil bahagian percetakan Melayu. Melaluinya terhasil kitab-kitab Melayu jawi dan disebarkan ke ceruk rantau Alam Melayu. Justeru itu, terbentuk sistem pengajian di Tanah Melayu dan muncul ulama Melayu yang berwibawa.
Kandungan.
Prakata.
Senarai Penulis.
Bab 1. Kekuasaan Portugis Di Timur Dan Hubungannya Dengan Kerajaan Uthmaniyah.
> Izziah Suryani Arshad.
Bab 2. Pan-Islamisme Dan Respons Masyarakat Melayu.
> Ermy Azziaty Rozali.
Bab 3. Kitab Hadiqat al-Azhar Wa al-Riyahin Dalam Konteks Hubungan Alam Melayu Dengan Kerajaan Uthmaniyah.
> Zaidi Hassan.
Bab 4. Sejarah Campur Tangan Inggeris Di Arabia Dalam Perang Dunia Pertama.
> Abdul Raoh Yaccob.
Bab 5. Perang Turki Uthmaniyah Dengan Britain (1914) Dan Reaksi Orang Melayu.
> Nik Anuar Nik Mahmud.
Bab 6. Muhammad Rashid Rida (1865-1935) Dan Usaha Menghidupkan Semula Sistem Khilafah Islamiyah.
> Farid Mat Zain.
Bab 7. Pembinaan Semula Sistem Khilafah Menurut Hasan Al-Banna.
> Azmul Fahimi Kamaruzaman.
Bab 8. Kejatuhan Khilafah Dan Respons Badiuzzaman Said Nursi.
> Mohamad Zaidin Mat.
Bab 9. Sultan Abd al-Hamid II Dan Usaha Memulihkan Sistem Khilafah Islamiyah.
> Eeman Muhammad Abbas & Ummu Hani Hashim.
Bab 10. Kejatuhan Khalifah Uthmaniyah Dan Kenaikan Mustafa Kamal di Turki: Reaksi Orang Melayu.
> Mohammad Redzuan Othman
Indeks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan